Posted by: aye83 | December 17, 2008

Mehnah Kepada Mawaddah dan Rahmah

Di copy dari http://saifulislam.com/?p=3823

 

“Saya tak tahan dengan perbuatan suami saya. Ketika kami sedang cuba menyelesaikan masalah yang timbul, dia main kayu tiga dengan perempuan lain,” antara keluhan yang paling kerap disuarakan oleh sang isteri.

“Entahlah, saya bosan dengan isteri di rumah. Masalah yang sama berulang-ulang kali berlaku. Hanya si dia ini yang memahami diri saya,” keluh si suami dengan nada ‘jujur’ untuk justifikasi perbuatannya mendampingi teman sekerja.

Jujurnya, ada rasa muak pada diri saya untuk memikirkan hal ini. Sudah menjadi seperti satu trend di dalam masyarakat. Suami dan isteri bergaduh, disusuli suami bermain kayu tiga, dan ada sahaja perempuan yang sudi muncul di tengah-tengah ribut sebuah rumahtangga.

KESUNGGUHAN MENYELESAIKAN MASALAH

Seperkara yang harus disedari oleh para suami, talak dan poligami bukannya HAK milik mereka, tetapi TANGGUNGJAWAB untuk ia diuruskan sebaik mungkin.  Memikirkan bahawa talak serta poligami itu sebagai HAK akan secara sedar atau tidak sedar menjadikan suami tidak memberi sepenuh diri ke arah menyelesaikan krisis rumahtangga yang sedang dihadapinya.

Sentiasa ada jalan keluar.

Sentiasa ada pilihan.

Mereka terlupa bahawa tindakan memilih talak atau poligami sebagai jalan keluar dari krisis rumahtangga yang sedang dihadapi, bukanlah wasilah penyelesaian, sebaliknya ia berubah menjadi agen jangkitan masalah tersebut kepada perhubungan dan perkahwinan yang seterusnya. Apatah lagi jika dirinya sendiri yang menjadi punca kepada masalah yang sedang mereka berdua hadapi.

Tatkalau suami membayangkan bahawa talak atau poligami itu adalah HAK dan bukannya AMANAH yang diberikan Allah atas kurniaan jati dirinya sebagai lelaki, suami itu membelakangkan Allah dan mendustakan-Nya dengan memutuskan kaitan talak dan poligami itu dengan Allah. Justeru keadilan terlalu cepat ditegaskan kelayakannya, tetapi isu keadilan itu jugalah titik murka Allah ke atas suami seperti ini.

MENCARI PENYELESAIAN DENGAN MAKSIAT

“Peritnya masalah rumahtangga kami ini,” keluh seorang suami.

“Kamu sudah minta bantuan Allah?” soalan untuk beliau.

“Puas saya berdoa, solat hajat…!” katanya.

“Kamu tahu mengapa doa dan solat hajat kamu tidak dipedulikan Allah?”, soalan seterusnya.

“Mengapa?”, soal beliau.

“Tatkala kamu berdepan dengan masalah, kamu berhubungan dengan perempuan itu di belakang isteri kamu! Pedulikah Allah kepada doa pelaku maksiat?” soalan terakhir buatnya.

Ketika seorang suami tidak berpuas hati dengan keadaan isteri dan perkahwinannya, peringkat ini sering juga menyaksikan suami berhubungan dengan perempuan lain. Sama ada hubungan itu di pejabat, di internet, di lokasi program, atau di mana sahaja, apakah definisi Islam kepada perhubungan itu?

Ia adalah maksiat!

Lebih buruk lagi, maksiat itu merangkumi keingkarannya terhadap Allah, dan kezaliman ke atas manusia (isteri dan anak-anak).

Biar pun hubungan itu nanti mungkin berkesudahan dengan perkahwinan, sama ada secara poligami atau dengan menceraikan isteri pertama terlebih dahulu, hubungan sebelum berkahwin itu tetap suatu maksiat yang tidak terhapus dengan perkahwinan tersebut. Perkahwinan bukan penghapus dosa. Hubungan sulit sang suami dengan perempuan berkenaan adalah dosa, manakala perkahwinan adalah subjek yang berasingan.

Dosa dan maksiat hanya terubat dengan taubat!

Justeru kita ingin tahu, berapa ramai suami yang berjaya mengendalikan kes poligami tanpa pendahuluan ‘hubungan sulit’ berupa maksiat ini? Jika anak teruna dan dara dibantu oleh keluarga dan saudara mara dalam mengatur risik, pinang, tunang dan akad nikah sebagai jalan beradat lagi bersyariat dalam berumahtangga, bagaimana pula dengan perkahwinan golongan ‘bijak pandai lagi berpengalaman’  ini? Ketika bertemu dua insan ini, siapakah yang ketiga di antara mereka?

Maksiat kepada Allah, dan zalim ke atas isteri dan anak-anak, dosa ini tidak terhapus dengan kejayaan berkahwin yang didambakan itu. Ia wajib dengan taubat.

Syarat taubat, harus dengan penyesalan, juga koreksi atas kesan perlakuannya di dalam maksiat itu.

Itu seperkara.

TERTIPU OLEH PERASAAN

Tatkala seorang suami berkenalan dengan cinta kedua, isteri yang sedia ada sering kelihatan buruk celanya. Serba serbi tidak kena. Cinta kedua itulah ‘penemuan sejati’ yang terlewat tapi belum terlambat. 

Suami terlupa bahawa hubungannya dengan isteri pertama banyak dibelenggu oleh tekanan dan bebanan. Ia datang dari tanggungjawab yang sudah terpikul  di atas bahu mereka berdua. Anak-anak, harta benda, kewangan dan pelbagai lagi. Semua itu menjadi sumber tekanan, dan mustahil hubungan nampak indah dalam keadaan masing-masing tertekan dan terbeban.

Akan tetapi segalanya nampak indah pada cinta kedua, kerana di situlah ditemui ketenangan. 

Bergaduh dengan isteri di rumah, lari kepada cinta sejati yang setia.

Luahkan segalanya kepada dia.

Dia sungguh memahami.

Tetapi suami itu terlupa bahawa hubungan cinta kedua itu indah kerana ia belum datang dengan tanggungjawab. Belum ada komitmen. Hanya cinta dan perasaan yang cantik-cantik belaka. Justeru tidak rasional untuk sang suami membandingkan cinta keduanya dengan isteri pertama di dalam rumah. Amat salah alasan suami bahawa beliau yakin kekasihnya bakal membahagiakan, tanpa meneliti akan perihal tanggungjawab yang bakal mengiringi lafaz AKU TERIMA NIKAHNYA (kali berikutnya).

Berkahwin kerana perasaan tanpa mempedulikan tanggungjawab dan bebanan, adalah kebudak-budakan yang mengundang kehinaan. Kematangan usia gagal mematangkan pertimbangan.

SI MANIPULATIF ITU

Pertimbangan ketiga pula harus dilihat kepada ‘pihak ketiga’ itu. 

Jika hubungannya dengan lelaki itu, tanpa pengetahuan bahawa kekasihnya adalah suami orang, maka itu suatu kecuaian yang besar. Salahnya adalah atas kecuaian tersebut.

Akan tetapi jika beliau muncul untuk memanipulasi masalah yang sedang membelenggu seorang suami dan isteri, maka besarlah dosa dan celanya atas perbuatan itu. Malah lebih menghairankan kita, bagaimanakah seorang lelaki boleh memandang perempuan seperti ini sebagai pasangan ganti kepada isteri yang halal di rumah itu?  Baikkah perempuan yang mengambil peluang dari mehnah yang sedang membelenggu suami dan isteri itu? 

Tatkala mereka berdua sedang berjuang untuk menyelamatkan sebuah bahtera dengan anak-anak yang antara timbul dan karam itu, bagaimanakah rupa hati seorang perempuan yang datang menawarkan perahu ‘penyelamat’ untuk si lelaki dengan memejamkan mata terhadap nasib perempuan dan anak-anak di dalam kapal yang terumbang ambing itu? Apakah nilai iman dalam dirinya?

Daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan kamu saling berdengki, saling memuji barang untuk melariskannya, saling membenci, memulau dan jangan antara kamu yang membeli atas pembelian orang lain, hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak menzaliminya, tidak menghinanya. Taqwa itu di sini-baginda mengisyaratkan kepada dadanya sebanyak tiga kali-. Cukuplah seseorang itu melakukan kejahatan dengan menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim darahnya, hartanya dan maruahnya haram ke atas muslim yang lain. (Muslim)

Apakah rasional seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang tiada belas terhadap seorang perempuan lain yang memiliki hati dan diri sepertinya? Bagaimana pula dengan anak-anak itu? Sungguh, tiada justifikasi terhadap perbuatan sakit menyakiti seperti ini kecuali kerana masing-masing saling memandang dengan pandangan nafsu.

 

Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al Anshary Al Badry radhiallahuanhu dia berkata: Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam bersabda : Sesungguhnya ungkapan yang telah dikenal orang-orang dari ucapan nabi-nabi terdahulu adalah : Jika engkau tidak malu perbuatlah apa yang engkau suka . (Riwayat al-Bukhari)

TERBALIK

“Abang tidak akan lepaskan awak!” tegas si suami.

“Tapi abang menyeksa saya dan anak-anak. Kita sudah tidak seperti suami isteri sejak sekian lama. Kenapa mesti saya dibiarkan bergantung tidak bertali ini?” rayu si isteri.

Sulit sekali untuk memahami mengapa seorang lelaki ‘menyimpan’ isteri yang sudah tidak dilayannya sebagai seorang isteri. Setelah mengahwini isteri kedua, isteri pertama pula dilayan bagai perempuan simpanan.

Beberapa kes yang saya hadapi, membawa pencarian kepada persoalan ini hingga menemukan saya dengan beberapa keganjilan. Kerap juga terjadi, keindahan bercinta sebelum berkahwin, berubah selepas kekasih disunting menjadi isteri kedua. Rasa tidak selamat yang kerap menimpa isteri kedua, menjadikan sebahagian mereka mendesak-desak dan cuba menguasai suami, lupa kepada adanya seorang perempuan yang sedang disakiti, saudaranya se-Islam. Percubaan untuk menjadikan suami itu milik dirinya dengan membelakangkan isteri pertama dan anak-anak mereka adalah suatu kezaliman yang menimbulkan MURKA ALLAH

Keadaan ini bukan sekadar menimbulkan kesakitan ke atas isteri pertama, malah suami mereka juga jadi tidak menentu. Antara sayang dan rimas! Ironinya, pada isteri pertama jua, ketenangan dan kerehatan diperolehi. Isteri yang dikahwini dengan falsafah mawaddah dan rahmah itu. Tempat berehat dari perangai-perangai isteri kedua yang meletihkan. Tanpa sedar, inilah alasan senyap untuk seorang suami tidak melepaskan isteri pertamanya, biar pun dia sudah tidak melayan wanita itu sebagai seorang isteri sebagaimana yang dipertanggungjawabkan Allah ke atasnya.

Bagai perempuan simpanan, biar pun dia seorang isteri!

Perbuatan menzalimi perempuan, apatah lagi dengan alasan-alasan agama, inilah modal yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menyabitkan penindasan Islam ke atas wanita. Perempuan sering tersepit di jalan mati, ketika lelaki bersenang lenang dengan pelbagai pilihan di tangannya yang didenifiniskan sebagai HAK, bukan lagi AMANAH dan TANGGUNGJAWAB.

Mungkin jenayah terbesar di sebalik krisis-krisis ini ialah pemahaman-pemahaman yang salah terhadap hak dan peranan dalam rumahtangga, hingga penindasan, penganiayaan dan penderaan fizikal atau emosi anggota keluarga, merebak tanpa jelas kelihatan penyelesaiannya.  Hingga suami tanpa sedar menjadi male chauvinist yang dicela Tuhan.

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa kekelebihan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tnggi, lagi Maha Besar. [Al-Nisaa’ 4: 34]

Sejauh manakah wahyu Allah yang menerangkan tentang tugas, tanggungjawab, peranan dan bebanan suami dalam ayat ini, dengan mudah diterjemahkan sebagai HAK seorang suami ke atas isteri? Di mana Allah dalam kefahaman yang begitu?

MAWADDAH DAN RAHMAH

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. [Al-Room 30: 21]

Mawaddah itu adalah cinta yang terhasil, kesan dari usaha menyemainya di dalam jiwa antara suami dan isteri. Cinta tambah, bagai yang digelarkan oleh M. Quraish Shihab dalam risalah ‘Cabaran Kehidupan Rumah Tangga‘ karangannya. Mawaddah hanya ada antara suami dan isteri, sebagai cinta yang diperjuangkan dalam sebuah rumahtangga. Segala susah payah yang diharungi dengan jiwa memberi oleh suami dan isteri menyuburkan mawaddah ini… sesuatu yang seharusnya mekar dalam sebuah perkahwinan lewat usia. 

Namun mawaddah yang mengosongkan diri dari kecenderungan mengungkit kekurangan di antara suami dan isteri, terlalu ideal untuk berdiri sendiri. Manusia kaya dengan kelemahan, sebagaimana kaya juga dengan keinginan dan kemahuan. Justeru di antara tanda kebesaran Allah SWT yang diterbitkan dalam sebuah perkahwinan, adalah mawaddah yang diiringi rahmah. Sifat rahmah ini menghiasi jiwa seorang suami secara khusus, terhadap kecenderungan dirinya kepada keinginan dan keperluan.

Suami yang beristerikan seorang perempuan yang mandul, atau hilang upaya seksual kerana menopause sebagai misal, mungkin boleh mengambil pilihan poligami untuk memenuhi naluri kebapaan dan kelelakiannya yang diingini. Tetapi dia sedar, bahawa pilihan itu pedih buat sang isteri. Justeru sifat rahmah itulah yang membendung keinginan tersebut. Sifat belas ihsan yang tidak sampai kepada hatinya untuk menyakiti isteri atas kekurangan yang berlaku. Demi mawaddah antara mereka, rahmah menjadi bekal pengorbanan seorang suami.

Dan isteri yang terhias jiwanya dengan sifat yang rahmah itu jua, membangunkan kesediaan yang sama untuk belas ihsan terhadap suami yang juga punya hati dan perasaan. Di sinilah ujian kepada mawaddah dan rahmah antara suami dan isteri.

Suami yang awal-awal lagi membelakangkan isteri dan mendampingi wanita lain di luar daerah Halal, tiada mawaddah dan tiadalah rahmah antara mereka. Hanya murka Allah yang menjadi duri siang dan malam saban ketika.

TIDAK MUDAH

Tidak mudah untuk saya ungkapkan hal ini. Ia lebih kepada usaha meredakan keresahan diri tatkala beberapa kes dengan plot dan jalan cerita yang sama, mendatangi kehidupan.

Kepada sang suami, isteri dan isteri atau bakal isteri, pulanglah kepada Allah sebagai hamba-hamba-Nya. Hamba yang tidak pantas bercakap tentang HAK, kerana kehambaan itu hanyalah pada tanggungjawab, memberi dan berperanan… 

Saya menarik nafas sedalam-dalamnya untuk mengakhiri coretan kali ini.

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: