Posted by: aye83 | March 17, 2008

WALA’ BUKAN TAQLID BUTA !!!!!!

       

Mengikut kefahaman ramai, wala’ dimaksudkan dengan taat. Segala arahan yang telah dikeluarkan, maka wajib diberi wala’. Itulah kalimah wala’ yang difahami oleh kebanyakan pejuang-pejuang islam di malaysia.

Padaku, wala’ merupakan perkara yang penting, tetapi Islam adalah agama yang mengajar kita menggunakan akal untuk berfikir. Berfikir itu hendaklah berasaskan kepada hujjah-hujjah dan dalil-dalil yang dikemukakan. Maka dengan itu, kalimah wala’, jika di tafsirkan semata-mata taat membabi buta, tanpa merujuk kepada sebab dan hujjah disebalik arahan yang dikeluarkan, maka ianya tidak dinamakan sebagai wala’, tetapi ianya dinamakan sebagai TAQLID BUTA.

WALA’

Wala’ adalah kalimah arab yang beerti ketaatan dan kesetiaan (Kamus moden Al-Miftah : m/s 1947)

Adapun makna wala’ dari sudut Istilah adalah;

حُبُّ الله تعالى ورسوله ودين الإسلام وأتباعِه المسلمين ، ونُصْرةُ الله تعالى ورسولِه ودينِ الإسلام وأتباعِه المسلمين

Maksudnya;
”Menyayangi Allah, Rasul-Nya, Agama Islam dan pengikut Islam yang terdiri dari orang-orang islam. Disamping itu juga, membantu Allah, Rasul-Nya, Agama Islam dan pengikut Islam yang terdiri dari kalangan orang-orang islam” (Al-wala’ Wa Al-Bara’ Bain Al-Ghulw wa Al-Jafa’ Fi Dau’ Al-Quran wa As-Sunnah : 5)

Wala’ ini berasaskan kepada firman Allah;

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ

Maksudnya;
“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan shalat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah)”

(Surah Al-Maidah : 55)

Juga firman Allah;

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya;
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

(Surah At-taubah : 71)

Sesungguhnya wala’ kepada Allah dan Rasul-Nya merupakan perkara yang mutlaq. Tidak dibenarkan sekali-kali mempertikaikan segala arahan yang telah di tetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Mempertikai arahan Allah dan Rasul-Nya merupakan tindakan yang bercanggah dengan islam.

Daripada Abu Hurairah :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

Maksudnya;
“Sesungguhnya Rasulullah SAW berkata, setiap umatku masuk syurga melainkan mereka yang ingkar. Mereka bertanya, Wahai Rasulullah, siapakah yang ingkar itu? bersabda (Nabi), barangsiapa yang taat kepadaku, dia akan masuk syurga, barangsiapa yang melakukan maksiat kepadaku (tidak ikut perintah nabi), maka dialah orang yang ingkar” (Sahih Al-Bukhari : 6737)

Adapun memberi wala’ kepada yang lain dari Allah dan Rasul adalah muqayyad, iaitu berkaitan dan masih lagi tertakluk dengan hujjah-hujjah. Sekiranya arahan itu datang dalam keadaan tidak mempunyai hujjah yang tepat, maka perkara tersebut tidak boleh diberi wala’ kepadanya. Ianya adalah kerana, Islam melarang dari melakukan taqlid buta dalam menerima sesuatu arahan, melainkan dalam keadaan tertentu sahaja.

MESYUARAT

Tidak dinafikan, sesuatu keputusan mesyuarat, hendaklah diberi wala’ kepadanya, selagimana ianya tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Firman Allah:

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ

Maksudnya;
“dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah”

(Surah Al-Imran : 159)

Pun begitu, ingin dinyatakan, keputusan mesyuarat adalah perkara yang dibawah perkara “ijtihadi”, iaitu perkara yang zanni yang tidak qatii.

Sesuatu mesyuarat yang dilakukan dalam menentukan sesuatu keputusan, hendaklah disertakan dengan perbahasan dengan merujuk kepada hujjah-hujjah yang kuat.

Apabila segala hujjah-hujjah telah dikemukakan, maka pengerusi mesyuarat hendaklah melihat antara hujjah-hujjah tersebut, manakah hujjah yang paling tepat dalam memastikan ketepatan dalam membuat satu keputusan mesyuarat.

Maka dengan itu, sekiranya mesyuarat yang terhasil dengan merujuk kepada pendapat individu tertentu, tanpa merujuk kepada hujjah-hujjah, maka itu bukanlah yang dimaksudkan dengan mesyuarat yang dinyatakan oleh Allah SWT menerusi firman Allah ini.

Menurut Imam Fakhru Razi dalam kitab At-Tafsir Al-Kabir, beliau menyatakan, mesyuarat itu hendaklah wujud didalamnya ijtihad setiap ahli mesyuarat dengan mengeluarkan segala hujjah-hujjah yang lebih patut dan sesuai bagi sesuatu keadaan. (At-Tafsir Al-Kabir : 4/445)

Adapun jika tidak wujudnya hujjah-hujjah dalam bermesyuarat, maka itu tidaklah dipanggil mesyuarat yang sebenar, seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Mesyuarat yang tidak dikemukakan dengan hujjah-hujjah, tidak wajib ditaatinya. Jika mengambil sikap untuk mentaatinya juga, ianya dinamakan sebagai TAQLID BUTA.

TAQLID BUTA DILARANG

Bagi mereka yang berkeahlian dalam memahami sesuatu hujjah, tidak selayaknya mengambil sikap bertaqlid buta. Jika mereka mengambil sikap sedemikian juga, seakan-akan mereka telah menafikan faedah akal fikiran yang telah diberikan oleh Allah SWT.

Firman Allah:

لَقَدْ أَنْزَلْنَا إِلَيْكُمْ كِتَابًا فِيهِ ذِكْرُكُمْ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Maksudnya;
“Sesungguhnya telah Kami turunkan kepada kamu sebuah kitab yang di dalamnya terdapat sebab-sebab kemuliaan bagimu. Maka apakah kamu tiada menggunakan Akal?”
(Surah Al-Anbiya’ : 10)

Ayat ini secara jelas Allah menyatakan bahawa, dengan turunnya Al-Quran itu, sepatutnya manusia itu menggunakan anugerah akal fikiran agar mereka mencari hujjah-hujjah atau menyelidiki segala hujjah-hujjah yang dikemukakan, dengan tujuan memilih hujjah-hujjah yang tepat.

Golongan yang mempunyai kemampuan ini, adalah dilarang kepadanya bertaqlid buta. Bahkan, jika sesuatu arahan yang hendak diberikan kepadanya, lalu apabila ditanya, maka hendaklah dinyatakan sebab dan hujjah disebalik arahan tersebut.

Jika tidak dapat dinyatakan, maka tidak wajib arahan itu di taati. Jika di taati juga, ianya dibawah lingkungan yang disebut sebagai TAQLID BUTA.

Taqlid buta merupakan larangan dari Allah SWT. Ini jelas dapat dilihat dengan firman Allah SWT.

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

Maksudnya;
“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah”

(Surah At-Taubah : 31)

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Ibni Kathir mendatangkan hadis yang menceritakan tentang Adi bin Hatim yang bercakap dengan Nabi SAW dengan mengatakan, kami tidak pernah menyembah orang-orang alim dan rahib-rahib kami, bagaimana Allah menyatakan kami menyembah mereka.

Mendengar kata-kata Adi bin Hatim itu, Baginda SAW bersabda:

بلى، إنهم حرموا عليهم الحلال، وأحلوا لهم الحرام، فاتبعوهم، فذلك عبادتهم إياهم

Maksudnya;
“bahkan, sesungguhnya mereka haramkan atas mereka perkara halal dan menghalalkan kepada mereka perkara haram, lalu mereka ikut, maka itulah ibadat mereka lakukan terhadap mereka”(Tafsir Ibni Kathir : 4/135)

Dari kisah ini, jelas kepada kita, betapa Allah melarang bertaqlid buta sehinggakan golongan ahli kitab telah dikatakan kufur oleh Allah. tindakan Allah menyatakan demikian adalah ekoran sikap mereka yang hanya taqlid buta kepada guru-guru dan padri-padri mereka sahaja.

Keadaan ini membezakan mereka yang tidak berkelayakan untuk memahami hujjah. Golongan ini tidak diberatkan kepadanya untuk memahami hujjah, bahkan memadai bagi mereka bertaqlid dengan segala arahan yang diberikan kepada mereka tanpa perlu dengan mengemukakan hujjah.

Firman Allah:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya;
“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”

(Surah An-Nahl : 43)

PENUTUP

Islam menyuruh kita memberi wala’ kepada ketua dalam perkara yang telah dibincang atau arahan yang disertai dengan hujjah. Maka dengan demikian, apabila ditanya, maka hendaklah pihak ketua mengemukakan hujjah-hujjah disebalik arahan yang telah dikeluarkan.

Perkara ini di jelaskan adalah kerana, dibimbangi sebilangan ketua mengeluarkan arahan dengan alasan wala’, tetapi ianya adalah untuk kepentingan peribadi ketua tersebut.

Maka dengan sebab itu, tidak semua arahan ketua itu merupakan arahan yang wajib di taati, tetapi arahan itu masih lagi tertakluk kepada hujjah-hujjah. Ianya menyalahi dengan arahan Allah dan Rasul-Nya yang sememanya arahan itu tidak boleh di tolak.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://al-bakistani.blogspot.com/


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: