Posted by: aye83 | December 6, 2007

APABILA ORANG TIDAK BERPRINSIP BERCAKAP TENTANG POLITIK

APABILA ORANG TIDAK BERPRINSIP BERCAKAP TENTANG POLITIK

Agama Islam yang diwahyukan Allah kepada Muhammad supaya disebarkan ke seluruh alam ini merupakan agama yang paling syumul dan merangkumi didalam semua kontek kehidupan.

Islam tidak dibataskan kepada perkara ibadat sahaja, bahkan Islam merupakan agama yang merangkumi segala cara hidup manusia, samada dari sudut pendidikan, politik, ekonomi, muamalat, munakahat dan sebagainya.

Justeru islam adalah agama yang syumul, sewajibnya penganutnya masuk kedalam Islam secara menyeluruh.

Firman Allah;

يا أيها الذين آمنوا ادخلوا في السلم كافة ولا تتبعوا خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

(surah al-Baqarah : 208)

Juga Allah melarang manusia mengambil Islam sebahagian dan mengkufuri sebahagian yang lain. Hal ini dinyatakan oleh Allah didalam firmannya;

أفتؤمنون ببعض الكتاب وتكفرون ببعض فما جزاء من يفعل ذلك منكم إلا خزي في الحياة الدنيا ويوم القيامة يردون إلى أشد العذاب وما الله بغافل عما تعملون

Maksudnya;
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat”

(surah al-Baqarah : 85)

Politik merupakan antara perkara yang diajar oleh Islam. Rasulullah SAW merupakan tauladan contoh dalam menentukan kebaikan dalam menuju kejayaan berpolitik.

AQIDAH ADALAH DASAR

Aqidah merupakan dasar utama yang perlu ditanam kepada penganut-penganut Islam. Melihat kepada sirah Rasulullah SAW, dimasa marhalah makkiyyah, Rasulullah SAW mengajak manusia kepada mentauhidkan Allah. Menunjukan kepada kita, aqidah merupakan sesuatu asas yang utama perlu diserapkan kepada jiwa penganut-penganut Islam.

Tugas meresapkan tauhid dan aqidah tidaklah dibataskan kepada diri-diri individu manusia sahaja, bahkan perlunya kepada penyerapan kepada system dan organisasi, agar ianya tidak tersasar dari kehendak Allah.

Walaupun aqidah menjadi dasar, tidak semestinya kita berdakwah dengan mengemukakan aqidah terlebih dahulu, bahkan kadangkala, manusia boleh terpaut dengan Islam dengan penglihatan dan penghayatan mereka kepada keadilan Islam didalam menguruskan politik, ekonomi, kemasyarakatan dan sebagainya.

Kita mendengar kisah berkenaan tentang kemasukan beberapa individu kepada Islam, ekoran dari melihat akhlak mulia Rasulullah SAW, Saidina Omar dan sebagainya.

Ini menunjukan, tidak semestinya, mengajak manusia itu mesti bermula dengan pintu aqidah, tetapi boleh juga dakwah islam itu dimulakan dengan pintu ekonomi Islam, politik Islam, akhlak Islam dan sebagainya. Lanjutan dari itu, penerapan aqidah perlu di laksanakan kepada individu-individu tersebut agar ia menjadi sebagai muslim yang hakiki.

PERJUANGKAN ISLAM MELALUI SIASAH HIZBIYYAH

Kejatuhan Daulah Othmaniyyah merupakan kejatuhan kuasa Islam didalam berpolitik dan mentadbir alam ini dengan islam.

Pemikiran secular merupakan dalang dalam usaha untuk menjatuhkan kekuatan khilafah Islamiyyah yang terakhir itu.

Bermula dari situ, umat Islam yang berfikir dan berjiwa islam mula melancarkan beberapa tindakan agar Daulah Islamiyyah itu dapat dibina semula.

Ada dari mereka menubuhkan gerakan-gerakan Islam di negara-negara masing-masing, ada meneruskan dengan agenda individunya dan berbagai-bagai lagi.

Kelahiran Jamaat Islami yang berada di Benua India, Ikhwan Muslimin di Semenanjung Tanah Arab, Hizbul Muslimin di Malaysia dan sebagainya, selepas kejatuhan Daulah Islamiyyah ketika itu merupakan perjuangan untuk mengembalikan kekuatan politik islam yang telah rebah.

Kelahiran gerakan-gerakan Islam ini, bukanlah untuk mengaut keuntungan dunia dan pengaruh individu-individu tertentu sahaja, bahkan kelahiran gerakan Islam ini bertujuan untuk mengembalikan semula kekuatan khilafah Islamiyyah yang telah jatuh semenjak dahulu lagi.

PAS adalah salah satu gerakan islam yang muncul bagi berusaha kearah tersebut. Melihat Malaysia adalah sebuah negara yang dipimpin oleh muslim tetapi berfikiran dan bertindak secular, maka PAS telah menubuhkan partinya, bagi berusaha hendak melaksanakan Islam mengikut kadar yang termampu dilaksanakan.

Perlaksanaan hukum-hukum dan undang-undang Islam adalah sesuatu yang telah sabit dengan nas dan telah diijmakkan oleh ulama, maka berusaha kearah perlaksanaannya adalah sesuatu yang wajib.

Berusaha kearah perlaksanaan tersebut tidak dapat direalitikan dinegara ini melainkan dengan menubuh parti dan masuk bertanding dalam pilihanraya, maka PAS telah mengambil cara menubuhkan parti dan masuk kedalam pilihanraya bagi merialisasikan kewajipan tersebut.

Tindakan PAS itu, bukan semata-mata pemikiran dan teori, bahkan tindakan PAS berasaskan kepada kaedah fiqh;

ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب

Maksudnya;
“tidak akan sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengannya, maka melaksanakannya adalah wajib”

PAS juga bersifat membenci kezaliman dan menjauhkan diri dari bersekongkol dengan kezaliman tersebut. Ini menujukan PAS percaya dengan firman Allah;

ولا تركنوا الى الذين ظلموا فتمسكم النار , وما لكم من دون الله من أولياء , ثم لا تنصرون

Maksudnya
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan”

(surah hud : 113)

Maka ekoran dari itu, PAS tidaklah mengajak manusia menuju kepada ketaasuban kepartiannya, tetapi PAS mengajak manusia kepada penghayatan dan perlaksanaan Islam secara menyeluruh, samada dari sudut ibadatnya, muamalatnya, ekonominya dan sebagainya.

PAS amat bergembira sekiranya UMNO menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya. PAS mengangap UMNO sebagai musuh kerana UMNO meneruskan agenda nasionalis kebangsaan melayu yang menyesatkan itu. PAS lawan UMNO, bukanlah kerana UMNOnya, tetapi PAS lawan UMNO kerana UMNO penerus kepada agenda yang menyalahi Islam.

Mursyid Al-‘Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat beberapa kali telah mengeluarkan kenyataan, bahawa PAS akan dibubarkan, sekiranya UMNO tukar dasar perjuangannya dari secular nasionalis kepada Islam yang sempurna.

Melihat kepada asas perjuangan PAS ini, maka PAS tidak akan melayan mana-mana fikrah pergerakan yang mendakwa Islam, tetapi hakikatnya, tindakan mereka merugikan Islam dan menguntungkan secular dan perjuangan nasionalis, seperti Ummah Centric dan sebagainya.

SELAGI UMNO DENGAN SEKULAR, SELAGI ITU UMNO DIRAGUI

Diketahui UMNO adalah sebuah parti secular yang memperjuangkan nasionalis melayu, maka kelahiran PAS antara tugasnya adalah hendak membaiki pemikiran manusia yang telah berjaya di sesatkan oleh perjuangan nasionalis kebangsaan Melayu “bermazhab UMNO”.

Selagi UMNO tidak menukar dasar perjuangan sekularnya, maka apa perlunya mempercayai dengan kata-kata manis yang ingin memaut perhatian manusia itu.

Firman Allah;

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَى مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ * وَإِذَا تَوَلَّى سَعَى فِي الْأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ * وَإِذَا قِيلَ لَهُ اتَّقِ اللَّهَ أَخَذَتْهُ الْعِزَّةُ بِالْإِثْمِ فَحَسْبُهُ جَهَنَّمُ وَلَبِئْسَ الْمِهَادُ

Maksudnya;
“dan di antara manusia ada orang Yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan Engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah Dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa Yang ada Dalam hatinya, padahal ia adalah orang Yang amat keras permusuhannya (kepadamu).*. kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.*. dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah Engkau kepada Allah” timbulah kesombongannya Dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan Demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal”

(Surah Al-Baqarah : 204-206)

Perkataan Islam Hadhari yang diperkatakan oleh Abdullah Ahmad Badawi merupakan tindakan “ada udang disebalik batu”, ianya merupakan cara untuk mencari keuntungan politik secular yang menyesatkan.

Setelah dikaji dan diselidiki, sememangnya kehadiran Islam Hadhari itu meragukan dan mengandungi udang disebalik batu.

Antara bukti keraguan yang ada pada Islam Hadhari adalah dari buku “Islam Hadhari dan pembangunan Umat” sebuah buku keluaran Hal Ehwal Khas, Kementeriaan Penerangan Malaysia, karangan Prof Madya Dr Idris Zakaria yang menjelaskan seperti berikut;

“Menjelang pilihanraya umum 2004 yang lalu, kita mendengar satu gagasan politik Negara yang dinamakannya sebagai Islam Hadhari. Gagasan ini telah terbukti yang ia adalah kekuatan. Kerajaan Barisan Nasional dengan UMNO sebagai tulang belakang telah menunjukan prestasi dan kejayaan yang besar dan mengejutkan ramai pemerhati politik dalam dan luar Negara. Negeri terengganu yang dikuasai parti PAS telah dirampas semula dengan kekuatan “Islam Hadhari Terengganu Bestari”. UMNO telah memenangi 28 dari 32 kerusi DUN dan 8 kerusi Parlimen. UMNO juga hampir menawan negeri Kelantan dengan menguasai 21 kerusi DUN dan PAS 24. Namun, dilihat secara umum, gagasan Islam Hadhari ini telah berjaya mematahkan kekuatan Pasti PAS”[1]

Buku ini jelas menbuktikan bahawa Islam hadhari merupakan gagasan untuk mengalahkan PAS didalam pilihanraya, bukan untuk memberi penghayatan dan perlaksanaan Islam.

Begitujuga, Shahidan Kassim yang mula memperkatakan tentang salafi. Apa yang memelikkan, beliau merupakan menteri Besar Perlis yang menang dalam pilihanraya berpartikan Barisan Nasional yang sememangnya berwadahkan secular nasionalis. Apakah perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat itu hendak memenangkan secular?

Setelah dilihat dan diselidiki, ekoran ramai dari rakyat-rakyat perlis mula memperkatakan tentang salafi, maka Shahidan Kassim sudah mula memperkatakan tentang salafi bagi mengekalkan pengaruhnya sebagai Menteri Besar di masa akan datang.

Meletakkan keraguan terhadap UMNO yang sudah mula memperkatakan tentang Islam adalah sesuatu kemestian, ini kerana firman Allah;

يا أيها الذين أمنوا , ان جاءكم فاسق بنباء فتبينوا , أن تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”

(surah al-Hujurat : 6)

ADAKAH PAS MEMENTINGKAN KERUSI BERBANDING PERLAKSANAAN DAKWAH?

Dalam system pilihanraya demokrasi, mendapat kerusi yang banyak menjanjikan kuasa memerintah, maka PAS berusaha hendak mendapat kerusi agar kuasa memerintah berasaskan kepada Al-Quran dan Hadis dapat dilaksanakan.

Perlu difahami, PAS bukanlah sebuah parti politik semata-mata, bahkan PAS adalah sebuah gerakan Islam yang menjadikan parti sebagai wasilah untuk melaksanakan tugas dakwah.

Dakwah PAS tidak dibataskan kepada dakwah lisan, tetapi dakwah PAS sampai kepada tahap dakwah dengan perbuatan.

Sabda Rasulullah ;

من رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بيده فَإِنْ لم يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لم يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya;
“barangsiapa melihat akan kemungkaran, maka hendaklah dia tukarnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, maka dengan lisan (bercakap), sekiranya tidak mampu, maka dengan hatinya (benci kepada mungkar), dan demikian itu adalah selemah-lemah iman”[2]

Jika ada orang yang mendakwa PAS lebih mementingkan kerusi berbanding tugas dakwah, maka perlu difahamkan kepadanya, bahawa PAS mementingkan kerusi dengan tujuan Islam dapat dihayati dan dilaksanakan, iaitu PAS menjadikan kerusi sebagai cara untuk berdakwah.

SALAHKAH ISU DIJADIKAN SEBAGAI BAHAN DAKWAH?

Isu adalah sesuatu yang sentiasa berlaku. Ada isu yang melibatkan umat, dan ada isu yang melibatkan kepada individu-individu tertentu, tetapi melibatkan juga kepada umat menyeluruh.

Kehadiran Islam, antara tugasnya adalah hendak menyelesaikan permasalahan manusia, lebih-lebih lagi permasalahan itu melibatkan kepada umat keseluruhan.

Jika diperhatikan kepada isu kenaikan harga minyak, sudah memadai untuk menjawab persoalan monopoli gula yang berlaku di negara ini.

Semuanya berpunca apabila manusia lebih mengutamakan system ekonomi yang berteraskan kapitalis berbanding islam.

Isu tsunami dan gempa bumi yang menimpa Indonesia juga sudah memadai diperhatikan apabila manusia di sana masih mengamalkan budaya liberalisma dan pluralisma dalam beragama berbanding mengambil Islam sebagai cara hidup yang sempurna.

Firman Allah;

ظهر الفساد فى البر و البحر بما كسبت أيدى الناس

Maksudnya;
“Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusi”

(surah ar-rum : 41)

Mengambil tahu isu yang berlaku, lalu dikaitkan penyelesaiannya berlandaskan Islam merupakan tindakan yang dapat mengaut keuntungan dalam melaksanakan tugas dakwah.

Kita mengetahui kisah kekalahan tentera rum ketika berperang dengan farsi yang beragama majusi. Ekoran Al-Quran adalah Hakim iaitu bijaksana, maka Al-Quran merakamkan bahawa kekalahan rum yang dibanggakan oleh golongan quraish, bahawa rom akan menerima kemenangan tidak lama kemudian dari itu. Hal itu benar-benar terjadi. Beberapa tahun kemudian, apa yang dinyatakan oleh Al-Quran itu benar-benar terjadi, maka dengan itu dapat menjawab bahawa benarnya kenabian Muhammad SAW.

Firman Allah;

غلبت الروم * فى أدنى الأرض وهم من بعد غلبهم سيغلبون * فى بضع سنين , لله الأمر من قبل و من بعد , ويومئذ يفرح المؤمنون

Maksudnya;
“Telah dikalahkan bangsa Rumawi * di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang * dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman”

(surah Ar-Rum : 2-4)

Dari ayat Al-Quran ini menggambarkan bacaan politik wahyu ilahi terhadap sesuatu isu yang berlaku, lalu penjelasan dari Allah terhadap isu itu telah menarik perhatian manusia yang menyebabkan mereka terpaksa akur dengan kebenaran nabi SAW.

“BERSIH” PLATFOM DAKWAH YANG BAIK

Dahulu PAS berjaya mengaut keuntungan dalam pilihanraya dikala kezaliman yang dilakukan oleh UMNO terhadap seorang bekas Timbalan Perdana Menteri yang bernama Anuar Ibrahim.

Keuntungan tersebut, PAS berjaya mengekalkan kemenangannya di Kelantan dan dapat mengambil Terengganu untuk diperintah berasaskan kepada Islam.

Didalam pemerintahan di dua buah negeri tersebut, banyak keuntungan dakwah dapat didedahkan kepada masyarakat, samada kepada muslim atau non muslim.

Manusia dahulunya tidak mengerti dan mengetahui akan undang-undang hudud, qisas, ta’zir, kharaj dan sebagainya, sekarang mereka sudah memahaminya setelah kemenangan PAS di dua negeri tersebut.

Golongan non muslim yang dahulunya memandang benci kepada Islam, tetapi sekarang menjadi golongan yang sudah memahami keindangan Islam dan sudah mahu membantu kemenangan PAS didalam pilihanraya lepas.

Ini menunjukan bahawa, kemenangan yang PAS kaut hasil dari isu Anuar Ibrahim merupakan salah satu cara PAS menyampai dakwahnya kepada manusia.

Kini, himpunan BERSIH, gabungan beberapa parti politik, disamping beberapa badan NGO-NGO islam dan tidak Islam telah berjaya di lakukan. Himpunan yang mengeluarkan lebih 100, 000 orang rakyat MALAYSIA itu telah menggegarkan pihak pemerintah yang mementingkan perut dan dibawah perut mereka.

Apa yang memelikkan, bukan sekadar pemerintah yang berkepentingan yang merasa bimbang, bahkan mereka yang berada “dicelah ketiak” pemerintah juga merasa bimbang sehingga mereka melakukan berbagai-bagai tindakan, samada menulis article, berceramah, berforum dan sebagainya, semuanya adalah bertujuan meragukan disamping melemahkan semangat pejuang-pejuang islam yang mahukan kepada keadilan.

Mereka menimbulkan isu pergabungan antara golongan islam dengan golongan anti Islam dalam menyusun satu strategi untuk mendesak kerajaan supaya melakukan keadilan terhadap rakyat jelata ini sebagai sesuatu perbuatan yang tidak syarii dengan pelbagai ulasan dan hujjah.

Apa yang lebih pelik, penimbul-penimbul keraguan ini adalah mereka yang mendakwa bahawa mereka adalah golongan yang membaca Al-Quran dan As-Sunnah, tetapi kenyataan mereka itu seakan-akan tergambar seperti mereka adalah golongan yang tidak membaca Al-Quran disamping hadis yang dibaca tanpa dihayati dengan syarahnya yang sebenar.

GENG ANTI ISLAM YANG DIDOKTRIN BENCIKAN ISLAM

Manusia yang membenci Islam ini terdiri dari beberapa jenis manusia. Ada sebilangan mereka membenci Islam disebabkan mereka memang sudah memahami islam, tetapi disebalik kebencian dan kedengkian mereka terhadap Islam menyebabkan mereka membenci Islam.

Inilah kesesatan dan kekufuran yang dilakukan oleh Bani Israil yang dikutuk oleh Allah SWT dalam Al-Quran.

Firman Allah;

وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ

Maksudnya;
“banyak di antara ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki Yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w)”

(Surah Al-Baqarah : 109)

Begitujuga, wujud dikalangan manusia yang membenci Islam disebabkan kelemahan pendakwah-pendakwah dalam memahamkan mereka tentang islam.

Yang lebih teruk dari itu adalah, permusuhan manusia terhadap islam adalah berpunca dari pendakwa-pendakwa Islam sendiri telah mendoktrinkan pengamalan Islam sebagai agama yang buruk, sedangkan islam adalah sesuatu yang sebaliknya.

Semua bentuk-bentuk manusia ini sebenarnya berlaku di Negara ini. Tetapi, yang paling ketara dalam melakukan tindakan memburukan gambaran pengamalan islam adalah dari mereka-mereka yang memerintah. Akhirnya, lahirlah ramai dari kalangan manusia yang anti kepada Islam.

Dalam keadaan inilah, pendakwah perlu berfikir cara yang terbaik bagi menjalinkan hubungan dengan kelompok anti islam ini. Semuanya adalah bertujuan untuk memudahkan saluran dalam menyampaikan mesej Islam kepada mereka.

Ada sebilangan mereka, menggunakan isu “bin Abdullah” sebagai cara untuk menjalinkan hubungan ini. Begitujuga isu “salam” kepada “non Muslim” dan sebagainya, walaupun kadangkala pandangan itu dipertikaikan kesahihan penghujahan dalil.

Ada sebilangan yang lain pula, mereka menggunakan cara menyelinap masuk kedalam program-program anjuran mereka yang anti islam dengan harapan dapat bersuara dalam menyampaikan mesej islam.

Apa yang dapat dilihat dengan sebenar, dengan mencari “titik pertemuan” dan “titik kesamaan” juga merupakan salah satu cara yang terbaik untuk merapatkan hubungan dengan non muslim dalam usaha hendak menyampaikan mesej Islam kepada mereka.

Firman Allah;

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ

Maksudnya;
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah Yang bersamaan (titik persamaan) antara Kami Dengan kamu”

(Surah Al-Imran : 64)

Dan sesungguhnya, dengan tindakan sebegini sebenarnya tidak menjadi satu kesalahan dalam islam, kerana ianya merupakan keizinan dari Allah yang telah dirakamkan oleh Allah dalam firmannya;

لا ينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم في الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا إليهم إن الله يحب المقسطين

Maksudnya;
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

(surah al-mumtahinah : 8)

Inilah perjuangan Islam yang berasaskan kepada Sunnah yang perlu didalami oleh semua manusia muslim yang mendakwa sebagai pendakwah, samada mereka berjawatan dalam jabatan agama atau tidak.

DEMONSTRASI DILIHAT SEPERTI KHAWARIJ

Demonstrasi jalanan telah dilebelkan sebagai amalan khawarij. Ekoran dari itu, setiap yang berdemonstrasi jalanan dianggap sebagai khawarij.

Alangkah dangkalnya ilmu kiasan yang digunakan oleh si pengkias. Ini adalah kerana, lebel khawarij ini timbul dari kalangan mereka yang keluar dari ketaatan terhadap kepimpinan yang sudah islam.

Apa yang berlaku sekarang adalah, Malaysia sebuah Negara demokrasi yang tidak pernah menjadikan islam sebagai dasar pemerintahan. Sistem pemerintahan berkiblatkan pemikiran barat british, yang telah diasaskan oleh Lord Red telah menjadi sumber rujukan hukum.

Dengan keadaan inilah, sudah cukup untuk menilai, golongan yang keluar dari ketaatan pemerintahan Malaysia tidak layak digelar sebagai khawarij, bahkan mereka yang menjadi barua kepada pemerintahan ini selayaknya digelar sebagai muktazilah moden.

Ada yang mengatakan, PAS menggunakan pendekatan yang tidak Sunnah disebabkan mengkritik pemimpin Negara dengan cara demonstrasi dan sebagainya. mereka menggunakan dalil Al-Quran, iaitu firman Allah;

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى * فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

Maksudnya;
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas Dalam kekufurannya. * Kemudian hendaklah kamu berkata kepadaNya, Dengan kata-kata Yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”

(Surah Taha : 43-44)

Apakah mereka tidak membaca firman Allah;

وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ

Maksudnya;
“dan janganlah kamu berbahas Dengan ahli Kitab melainkan Dengan cara Yang lebih baik, kecuali orang-orang Yang berlaku zalim di antara mereka”

(Surah Al-Ankabut : 46)

Imam fakhru razi menyatakan, dibenarkan berdebat dengan ahli kitab dengan kekerasan, ianya adalah jika berlaku kezaliman yang dilakukan oleh mereka. ini kerana, menurut Imam Fakhrurazi, maksud dengan

“التى هى أحسن”

Maksudnya;
“dengan cara yang lebih baik”

adalah

“التى هى أخشن”.

Maksudnya;
“dengan cara yang kasar[3]

Dalam firman Allah ini, Allah menggambarkan tentang larangan agar tidak berbahas dan berdebat dengan Ahli Kitab. Pun begitu, sekiranya mereka berkeras dengan kezaliman, iaitu menyelewengkan kandungan kitab, maka selayaknya dilakukan serangan yang lebih keras terhadap mereka, yang antaranya adalah demonstrasi jalanan.

RELEVANKAH DEMONSTRASI

Memang demonstrasi pada asalnya, adalah sesuatu yang tidak relevan. Pun begitu, dalam keadaan tertentu, ianya sudah dikira sebagai sesuatu yang relevan.

Kezaliman yang telah dilakukan oleh BN pimpinan UMNO merupakan sesuatu yang relevan untuk diadakan demonstrasi jalanan. Ini adalah kerana, penipuan dalam pilihanraya sudah terlalu nyata dilakukan oleh pihak memerintah. Semuanya adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan politik keduniaan.

Demonstarsi jalanan anjuran BERSIH mungkin tidak berlaku, sekiranya segala tuntutan-tuntutan dimakbulkan oleh amir-amir politik pemerintah. tetapi, disebabkan bimbang dengan kejayaan pihak pembangkang menguasai tapuk pemerintahan, maka mereka tetap berkeras dengan pendirian agar tidak menerima tuntutan yang dipohon oleh Bersih.

Apa yang pasti, segala tuntutan-tuntutan itu merupakan alat untuk menafikan penipuan yang selama ini dilakukan oleh amir politik. Sekiranya tuntutan itu dimakbulkan, nescaya dalam dua kali pilihanraya, atau satu pilihanraya sahaja sudah cukup untuk membuktikan siapakah pihak yang benar dalam skop dakwah dan pemerintahan.

PENUTUP

Dari segala ulasan ini, jelas kepada kita bahawa tidak selayaknya kita mengatakan PAS telah menggadaikan prinsipnya demi mendapat keuntungan politik. Bahkan tindakan PAS itu merupakan tindakan berprinsip disamping mempunyai kekuatan politik yang matang dalam menghadapi situasi politik yang berlaku kini.

Juak-juak pihak pemerintah tidak perlu bimbang dengan menulis berbagai-bagai article bagi mengkritik perjuangan rakyat dengan mengatakan perjuangan itu sebagai amalan yang tidak sunnah. Tetapi, selayaknya mereka merenung reality yang sudah berlaku, dan sepatutnya mereka lebih memerhatikan apa yang akan berlaku dibawah kepimpinan lembik dari segi strategi disamping mengadaikan Islam sebagai agama yang memerintah.

Mudah-mudahan kita semua terselamat dari fitnah secular anjuran kerajaan Barisan nasional pimpinan UMNO… AMIN !!!!

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://al-bakistani.blogspot.com/
abu_abdillah_azzam@yahoo.com


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: